;

Jumaat, 21 Ogos 2009

SEPAKAT TANDA MUAFAKAT


ok! semua dah beres dah...
Publish Post

Depa ni nak kena potong gaji ni.

hah!! anak sapa ni..

Tu dia korek jangan tak korek.

Eh, Brahim pegang cangkul aje ke!

Ini bukan nak sembur denggi...

posing duluuu....

eh !moto sapa pulak ni..

21 OGOS 2009. Dengan semangat muafakat, penduduk-penduduk Taman Berlian Indah ( TBI )berganding bahu bekerjasama membersihkan kolam loji kumbahan yang dipenuhi dengan semak samun. Kolam loji ini dipercayai tidak dapat menampung aliran air kumbahan ekoran daripada terdapat banyaknya tumbuhan liar yang menutupi kolam tersebut. Keadaan ini menjadi semakin teruk terutamanya ketika hujan lebat. Menurut En.Jamil Samad, Pengerusi Persatuan TBI menegaskan bahawa gotong-royong ini adalah inisiatif penduduk-penduduk TBI sendiri yang prihatin dengan masalah tersebut. Beliau menaruh harapan supaya gotong royong seperti ini akan diadakan dari semasa ke semasa.

Sabtu, 15 Ogos 2009

RAMADAN DATANG LAGI...


Khamis, 13 Ogos 2009

Kejiranan.............errrrrrr penting kerr???



HIDUP BERJIRAN MEMBAWA BAHAGIA
Oleh : Mohd Zamir bin Bahall



Pendahuluan
Kemakmuran sesebuah negara adalah bergantung sejauhmana kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya. Hubungannya yang erat adalah antara ciri-ciri masyarakat yang berkualiti. Iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka bahkan menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha membangun dan memajukan negara baik ketika senang mahupun susah. Menyedari akan hakikat inilah maka Islam awal-awal lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan erat di kalangan masyarakatnya. Suruhan tersebut tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat Islam sahaja malahan melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan sebagainya.


Mengapa Kita perlu Berjiran
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajiban mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah. Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'..dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki'. (An-Nisaa’ : 36)
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat maka tidak dapat tidak kita perlulah terlebih dahulu menyedari keperluan dan kelebihan hidup berjiran. Antaranya:


Bantuan Ketika Kecemasan
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Kerana itu, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan lain-lain lagi. Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa sahaja. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran yang dapat mlahirkan suasana seperti ini.


Menambah Kenalan
Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah swt yang bermaksud:
'Wahai manuisa, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali'. (Al-Hujurat : 13)
Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah, mendapat nasihat kesihatan jiran berjirankan seorang doktor, mendapat nasihat guaman jika berjirankan seorang peguam atau majistret, membaiki kerosakan pada rumah dan kenderaan jika berjirankan seorang mekanik dan begitulah seterusnya. Ini tidak termasuk ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran seperti ilmu bercucuk tanam, landskap, jahitan, gubahan, masakan, komputer dan lain-lain lagi.


Menjamin Keselamatan Setempat
Jiran yang sepakat dan bersatupadu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah, najis dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah swt yang bermaksud:
'Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran'. (Al-Maidah : 2)


Menjaga Keharmonian Masyarakat
Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti bersekedudukan, berkhalwat, mendera anak, lari dari rumah, bohsia, bohjan dan banyak lagi dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berwajib setiapkali menyedari berlaku perkar-perkara yang ganjil dan meragukan. Apakah kita perlu tunggu sehingga gejala tersebut menimpa ke atas ahli keluarga kita barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum terjadi bak kata pepatah Melayu 'Sediakan payung sebelum hujan'. Oleh itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan.


Menjaga Kebajikan Penduduk Setempat
Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Bagi memenuhi hasrat ini maka pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti Jawatankuasa Kemajuan Pembelajaran Anak-Anak. Jawatankuasa ini berperanan menilai pencapaian pelajaran anak-anak, mengenalpasti kelemahan dan masalah serta mengadakan program-program yang dapat meningkatkan mutu pelajaran mereka.
Di samping itu juga, menerusi penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Insan Remaja maka pelbagai aktiviti dapat disusun bagi memenuhi keperluan dan kebajikan golongan remaja seperti kem motivasi, program jatidiri dan sebagainya. Kesemuanya ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat baik anak-anak, para remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara. Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini adalah terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
'…dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka...' (Al-Syura : 38)


Integrasi Nasional
Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi mempastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.
Tuntutan supaya mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran dinyatakan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud: 'Jibrail berkali-kali mengingatkan aku (supaya berbuat baik) terhadap jiran sehingga aku merasakan seolah-olah mereka akan mewarisi hartaku'. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Pedoman Berjiran
Satu realiti kehidupan pada hari ini ialah kita dikelilingi oleh manusia yang mempunyai pelbagai citarasa, pandangan, minat, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa dan budaya yang berlainan dan berbeza-neza. Jenis dan ragam manusia yang bermacam-macam ini ditambah lagi tidak semua mereka memiliki hati yang suci bersih dan luhur menyebabkan usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran menghadapi sedikit kesulitan dan kerumitan.
Walau bagaiamanpun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Di samping itu, sikap-sikap yang negatif seperti berburuk sangka, irihati, dengki, fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan. Sememangnya diakui bahawa usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Pelbagai pendekatan dan amalan boleh dibuat bagi memenuhi hasrat tersebut.

Antaranya;


Bertegur Sapa
Amalan bertegur sapa sesama jiran adalah titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.


Kunjung-Mengunjung
Meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan lagi semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahinya. Ini kerana peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat. Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu tidak menganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan tertentu.


Menghulurkan Bantuan
Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup mengenepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat.
Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik sekalipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita.


Bergotong-Royong
Aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, masjid, balairaya, longkang dan sebagainya ataupun membaiki rumah atau jambatan akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya sememangnya dapat memupuk dan meyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.
Aktiviti bergotong-royong ini dapat menyatupadukan penduduk setempat kepada satu tujuan yang murni seperti menjaga kebersihan, memelihaar alam sekitar, membantu jiran dan lain-lain lagi. Sewajarnyalah amalan ini dihidupkan bagi menjana satu masyarakat yang bersatupadu dan hidup harmoni sesama mereka.


Perkelahan Keluarga
Mengadakan program perkelahan keluarga adalah amalan terbaik dalam menjalinkan kemesraan penduduk setempat. Seharusnya kita memanfaatkan sebaik mungkin destinasi-destinasi pelancongan yang banyak terdapat di negara kita bagi menjayakan program ini seperti Batu Layar di Kota Tinggi, Johor, Pantai Kundur di Melaka, Hutan Lipur Lentang di Bentong, Pahang dan sebagainya.
Banyak acara dan permainan yang boleh dijalankan dalam mengisi program perkelahan keluarga ini sama ada untuk dewasa, kanak-kanak atau keluarga seperti berebut kerusi, mencari barang, mencari harta karun, tarik tali, tiup belon dan sebagainya. Siapa sangka keseronokan yang dirasai secara tidak langsung boleh mengeratkan lagi hubungan kejiranan! Banyak lagi amalan yang boleh dilakukan bagi menguatkan hubungan kejiranan seperti bertukar-tukar juadah atau kuih-muih, mengadakan kelas kemahiran seperti jahitan dan sulaman, mengadakan progran lawatan sambil belajar, mengadakan rumah terbuka dan sebagainya. Apa yang penting ialah adanya kesungguhan dari dalam diri setiap daripada kita dalam mengorak langkah bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan dan seterusnya membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan.


Kesimpulan
Maka dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu. Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan. Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan ukhuwwah Islamiah dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah swt adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.

Dipetik dari: http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=484

Selasa, 11 Ogos 2009

JAWATANKUASA PERSATUAN PENDUDUK TAMAN BERLIAN INDAH SESI 2009

PENASIHAT 1
TH.HJ.HASHIM NORDIN BIN ABD.MANAF
(AHLI LEMBAGA PENGARAH EPIC VALLEY SDN.BHD)

PENASIHAT 2
EN.JAMIL BIN HJ.RAMLI

PENGERUSI
EN.JAMIL BIN SAMAD

NAIB PENGERUSI
DR.SUFFIAN BIN YUSUF

SETIAUSAHA
EN.SUHAIMI MAHMUD

PENOLONG SETIAUSAHA
EN.MD.TAMIZI ISMAIL

BENDAHARI
EN.YAHAYA BIN SALLEH(PAK YA POLIS)

PENOLONG BENDAHARI
EN.ROSLAN BIN EMBI

KETUA LINTANG

LINTANG 1- EN.MOHD NOOR BIN RADZALI
LINTANG 2- EN.MOHD NOOR BIN HJ.HAMID
LINTANG 3- EN.ABD.WAHID BIN AYOB
LINTANG 4- EN.MUHAMAD NADZRI BIN OSMAN
LINTANG 5- EN.YUSUF BIN CHE ROS
JALAN 1 - EN.SHARIZAL B.HJ.HASHIM

BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7.. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

11. Kita cukup teruja untuk meng'forward'kan sms atau emel dalam bentuk gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??.....Letakkan di blog pun boleh, kan?

BY:MJM11

Ahad, 2 Ogos 2009

Fakta Mengenai Virus Influenza A (H1N1)

Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.
Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.
Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.

Apa itu Fasa Mitigasi (Peredaan)
Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.
Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.

Siapakah yang berisiko tinggi akibat jangkitan Influenza A (H1N1)?
Kanak-kanak berusia kurang 5 tahun
Individu berusia 65 tahun dan ke atas
Kanak-kanak dan remaja (< 18 tahun) yang menggunakan terapi aspirin untuk jangkamasa yang panjang
Wanita mengandung
Dewasa dan kanak-kanak dengan asma, penyakit pernafasan kronik obstruktif, kegagalan organ, penyakit kardiovascular, hepatik, heamatologikal, neurologik, neuromuscular atau masalah metabolik seperti Diabetes Mellitus
Dewasa dan kanak-kanan yang mengalami daya ketahanan yang rendah (immunosuppression)
Individu yang menginap di rumah kebajikan dan institusi penjagaan yang lain

Peranan Masyarakat Semasa Fasa Mitigasi
Masyarakat perlu mengetahui cara virus ini merebak.
Influenza A (H1N1) virus berjangkit dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair, (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin).
Mana-mana individu yang berhubung rapat (lebih kurang 1 meter) dengan individu yang mengalami gejala selesema (demam, bersin, batuk, hidung berair, menggigil, sakit sendi dan lain-lain adalah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit akibat dari titisan cecair.
Oleh itu, masyarakat perlu mengambil langkah pencegahan berikut:
Amalkan kebersihan diri dan adab batuk yang betul
Amalkan kawalan jangkitan sama ada di rumah, tempat kerja atau pengangkutan awam
Peranan penutup mulut dan hidung (mask) dalam masyarakat
Tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan memakai mask di tempat awam. Namun, ia telah digunakan dalam ruang yang sesak/tertutup apabila berhubung dengan individu yang mengalami gejala selesema
Individu boleh memakai penutup mulut dan hidung (surgical mask) di rumah dan di kalangan masyarakat, terutamanya jika mereka berhubung rapat dengan individu yang mengalami gejala influenza, contohnya semasa menjaga ahli keluarga yang sakit.
Penggunaan mask membolehkan individu yang mengalami gejala influenza untuk menutup mulut dan hidung mereka bagi menghalang titisan cecair dari tersebar, salah satu kaedah adab batuk yang betul/baik.
Surgical mask juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi apabila berada di kawasan yang sesak.
Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah, elakkan berhubung rapat dengan ahli keluarga yang lain serta mengambil langkah kawalan dan pencegahan dari menjangkiti mereka yang menjaga pesakit.
Sekiranya gejala influenza semakin teruk, pesakit hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di hospital.
Sekiranya individu yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi mengalami gejala influenza, segera dapatkan rawatan awal
Elakkan berada di kawasan sesak dan seboleh-bolehnya tangguhkan/ batalkan / kurangkan menghadiri majlis keramaian
Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Dipetik daripada:
http://h1n1.moh.gov.my/FaktaH1N1.php

Salam Ukhwah


Selamat melayari blog Tmn Berlian Indah.

Sabtu, 1 Ogos 2009

MAJLIS ASYURA 2009

Hah, sapa nak kacau dulu ni?
Ni kena tambah satu kilo garam lagi ni..

Eh, macam tu ke kacau bubur Rahim?


Eh, aku dapat dah...


Tak masak lagi ke sofi...

SALAM UKHWAH BUAT WARGA TBI

B

;